Ucapan: Teks Perutusan KPN….
Perutusan YDH Ketua Polis Negara Sempena Sambutan Ulang tahun ke 40 Pasukan Kor Kadet Polis .Hari Kor Kadet JBU di Padng Kawat UTM. Bacaan Perutusan Ketua Polis Negara Oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan bin Hassan.
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
Assalamuailaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
2. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan keizinannya jua, dapat kita bersama-sama pada hari ini menyambut ulang tahun penubuhan Kor Kadet Polis yang ke 40, bagi tahun 2010.
3. Pasukan Kor Kadet Polis yang ditubuhkan sejak 2 Mac 1970 adalah bertujuan untuk melatih ahli-ahlinya mendisplinkan diri dan patuh kepada undang-undang negara, di samping membina insan cemerlang yang seimbang dari segi intelek, jasmani dan rohani serta bertanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara.
4. Walaupun pasukan ini masih muda, berbanding dengan usia Pasukan polis yang telah melebihi dua abad lamanya, tetapi keahliannya telah mencecah kepada 100,000 orang, berbanding dengan hanya seramai 1,960 orang sahaja, di awal penebuhannya. Pada tahun ini sahaja Kor Kadet telah mempunyai 2947 platun. Ia merupakan satu peningkatan yang begitu ketara, dan amat memberangsangkan dengan penerimaa yang begitu baik oleh pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah.
para hadirin yang di hormati sekalian,
5. Sebagai seorang rakyat, kita mesti menyokong sepenuhnya Program Transformasi Kerajaan ( GTP ) yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk memastikan negara kita mencapai Wawasan 2020. Di Samping menjayakan matlamat negara da;lam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara ( NKRA ) yang menetapkan sasaran mengurangkan 20% kadar jenayah jalanan menjelang akhir tahun 2010 dan juga menurunkan sebanyak 5% kadar jenayah indeks.
6. Dewasa ini, masalah gelala sosial yang melibatkan remaja adalah cukup membimbangkan, umpama barah yang semakin merebak dalam tubuh jika tidak dirawat dengan segera. Gejala amalan seks bebas, kehamilan anak luar nikah, buang bayi, rogol, samun, ragut, buli, gengsterisme dan bunuh, sedang menular di kalangan pelajar-pelajar sekolah, dan keadaan ini adalah amat mendukacitakan. Begitu juga dengan perlakuan pelajar-pelajar yang tidak segan silu merokok dengan berpakaian sekolah, selain berpeleseran di pasaraya dan pusat-pusat siber. Sekiranya gejala sosial ini tidak dibendung, saya bimbang negara tidak mampu melahirkan remaja berkualiti bagi menggantikan pemimpin negara pada masa depan.
7. Pada tahun 2008 sebanyak 1,862 kes telah dilaporkan dengan, 2,811 pelajar telah di tangkap.Daripada jumlah tersebut seramai seramai 2,731 orang pelajar yang berumur din antara 13 hingga 18 tahun, terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah. Bagi tahun 2009 pula, sebanyak 2003 kes jenayah yang melibatkan pelajar, telah dilaporkan, dengan 3263 pelajar telah ditangkap di atas pelbagai kesalahan. Seramai 3,142 pelajar tersebut, dalam lingkungan umur di antara 13 hingga 18 tahun terlibat dengan kejadian seperti bunuh, rogol, samun, mencuri, pecah rumah, curi motosikal dan lain-lain kesalahan jenayah. Sebagai contohh, kes kecurian motosikal yang melibatkan 975 tangkapan pada tahun 2009 merupakan penyumbang tertinggi kes jenayah yang dilakukan peljar sekolah.
8. Saya berharap ibu bapa, pihak pentadbiran sekolah dan masyarakat, serta persatuan-persatuan penduduk dapat membantu dalam menangai masalah pelajar sekolah yang melakukan kesalahan jenayah pada usia yang sangat muda ini, jauhilah anak masing-masing daripada melakukan kesalahan atau melanggar peraturan dan undang-undang negara, walaupun kesalahan yang dilakukan adalah kecil, impak yang diberikan kepada masa depan mereka adalah sangat besar.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
9. Satu kajian oleh lembaga Penduduk dan Pembangunan keluarga Negara (LPPKN) ke atas pelajar di lima buah sekolah menengah di negara ini, mengenai matlamat cinta remaja lelaki dan remaja perempuan telah dilaksanakan. Hasil dapatannya menunjukkan bahawa sekiranya teman wanita hamil, remaja lelaki akan menuduh kehamilan disebabkan perempuan itu mengadakan hubungan dengan lelaki lain, melarikan diri malah sanggup membunuh untuk menghapuskan bukti. Sedangkan remaja perempuan beranggapan teman lelaki adalah seorang yang jujur, akan menjadi suami yang baik, lantas menyebabkan mereka sanggup menyerahkan jiwa raga dan kehormatannya tanpa mengetahui matlamat cinta remaja lelaki. Masalah sosial ini amatlah membimbangkan umpama harapkan pagar, pagar makan padi.
10. Berdasarkan kepada perangkaan dan kajian yang telah dijalankan terhadap masalah sosial yang melibatkan remaja amnya dan pelajar-pelajar sekolah khasnya, jelas sekali menunjukkan bahawa pembabitan pelajar dalam pelbagai kes jenayah sentiasa meningkat dan fenomena ini amat membimbangkan semua pihak. Saya percaya gejala ini boleh dibendung, sekiranya para pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas tentang kesan dan akibatnya jika terjerumus di dalam kancah jenayah. Namum begitu, saya percaya para pelajar sekarang ini, lebih bijak dan berupaya membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap baik dan buruknya melakukan sesuatu perkara atau perbuatan.
11. Selain daripada itu, media sosial yang merupakan platform komunikasi atau ” networking” yang amat popular kepada golongan komuniti siber pada masa kini, terutama sekali kepada golongan remaja. Pautannya yang meluas dan berinformasi terkini sangatlah up-to-date sehingga kita boleh memperolehi maklumat dalam beberapa saat sahaja walaupun peristiwa tersebut belaku jauh dihujung dunia.
12. Sungguhpun begitu, jenayah tidak memilih mangsa, bagi remaja yang baru berjinak-jinak dengan alam maya ini, janganlah terpedaya dengan iklan-iklan dan promosi-promosi menarik yang ditawarkan di dalam internet.Jangan sekali-kali memberikan maklumat peribadi seperti nama, alamat rumah, sekolah, nombor telefon rumah atau telefon bimbit, nombor kad kredit ibu bapa yang mungkin membawa padah sekiranya orang yang tak dikenali ini mempunyai niat jahat.
13. Bagi mereka yang selalu ” bercakap” dengan kawan-kawan di dalam “chat room”, juga perlu sentiasa berwaspada apabila menerima mesej dengan orang yang tidak dikenali. Adalah amat sukar untuk kita mengetahui niat seseorang, lebih-lebih lagi pertemuan tersebut hanya melalui alam maya.Tidak mustahil bagi penjanayah mencari mangsanya melalui ” chat room” . Oleh itu saudara saudari dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa berkomunasi secara online di dalam alam maya yang penuh dengan perangkap ini.
14. Pada masa yang sama, ahli kor Kadet polis yang bertindak sebagai mata dan telinga PDRM, boleh membantu mengenal pasti kawan-kawan yang menghadapi masalah. Langkah terbaik adalah dengan melaporkan kepada pihak sekolah, supaya tindakan secepat mungkin dapat diambil untuk membendung dan mengelakkan perkara-perkara yang buruk berlaku.
15. Inisiatif yang telah dilakukan oleh PDRM seperti meletakkan Pegawai Perhubungan Sekolah di setiap sekolah rendah, mahupun sekolah menengahh di seluruh negara merupakan satu pendekatan untuk membolehkan pegawai polis membantu guru disiplin di sekolah untuk memberi nasihat dan menyampaikan ceramah berkaitan jenayah semasa dan pencegahan jenayah kepada pelajar-pelajar sekolah. Melalui program rakan cop juga, maklumat-maklumat boleh disalurkan untuk membantu pihak polis atau pihak berkuasa membanteras jenayah.
16. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, para penaja dan dermawan, pengetua, guru-guru, ibubapa, Persatuan Ibubapa dan Guru(PIBG )dan semua pihak yang bekerjasama dan sentiasa menyokong program dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Kor Kadet Polis.
Selamat menyambut Ulang Tahun Penubuhan Kor Kadet Polis yang ke 40.
Sekian wabillllahitaufik wahidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
(Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan)
Ketua Polis Negara.
